Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe tampil memohon maaf kepada rakyat China susulan kontroversi kenyataannya yang didakwa merujuk kepada bekas pemimpin negara itu, Mao Zedong sebagai seorang diktator.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas rakaman video temu bual pemain Real Madrid itu tular di media sosial, memaparkan beliau memberikan reaksi terhadap gambar suntingan yang menunjukkan wajahnya diletakkan pada tubuh Mao Zedong.
Dalam rakaman yang dipercayai berkaitan program bual bicara Perancis, The Bridge, Mbappe ditanya mengenai gambar atau meme dirinya yang paling melucukan pernah dilihat.
Pemain berusia 27 tahun itu kemudian didakwa merujuk kepada individu dalam gambar berkenaan sebagai seorang diktator China, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat negara tersebut.
Susulan kecaman tersebut, Mbappe menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan syarikatnya, Interconnected Ventures, di Paris pada Selasa, mengakui kata-katanya tidak wajar dan telah menyinggung perasaan ramai pihak.
“Ketika temu bual baru-baru ini, saya memberikan reaksi terhadap gambar yang memaparkan diri saya. Kenyataan saya tidak wajar dan kini saya memahami bahawa ia telah melukakan hati ramai orang di China serta masyarakat Cina di seluruh dunia.
“Saya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan kata-kata saya. Itu sama sekali bukan niat saya.
“Saya amat menghormati rakyat China dan sejarah mereka dan saya benar-benar kesal,” katanya.
Kesan kerjasama tiga syarikat
Kontroversi itu turut memberi kesan kepada kerjasama komersial Mbappe apabila tiga syarikat China, iaitu Dongpeng Beverage, Mengniu dan Milkground, mengumumkan penamatan hubungan penajaan dengan pemain berkenaan.
Ketiga-tiga syarikat tersebut menegaskan mereka tidak bertolak ansur terhadap sebarang kenyataan atau tindakan yang dianggap menyinggung sentimen kebangsaan rakyat China.
Malah, penyiar televisyen kerajaan China turut menggantung siaran perlawanan liga bola sepak Sepanyol, La Liga, selain menarik balik iklan yang memaparkan Mbappe.








