Rakaman pendek berdurasi 13 saat yang memperlihatkan seorang pelajar IKBN Miri dihentak ke tiang oleh rakan-rakan mula-mula dianggap gurauan, namun akhirnya mengundang padah besar. Video itu mencetuskan keresahan awam kerana ia menyerupai insiden buli.
Susulan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil mengambil langkah pantas dengan menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pelajar terbabit.
Hukuman serta-merta
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar semalam memutuskan mereka digantung seminggu, elaun diberhentikan serta-merta, dilarang keluar kampus selama sebulan dan diwajibkan melapor diri secara berkala.
Selain itu, kesemua pelajar berkenaan termasuk mangsa diwajibkan menghadiri sesi kaunseling. Hukuman berbentuk kerja amal turut dikenakan sebagai sebahagian usaha membina semula disiplin.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Bukan sekadar gurau
Hannah menegaskan budaya gurauan melampau tidak boleh dianggap ringan kerana ia bercanggah dengan nilai pendidikan dan boleh menormalisasi tingkah laku ganas dalam kalangan belia.
“Institusi pendidikan mesti menjadi tempat selamat dan berintegriti. Tidak ada kompromi untuk kelakuan keterlaluan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Langkah pencegahan
Bagi mengelak kejadian serupa, KBS akan memperketat pemantauan Unit Hal Ehwal Pelajar, melaksanakan sesi motivasi serta kaunseling berterusan dengan bantuan KPM dan KKM.
Pegawai Perhubungan Institut juga akan dilantik untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program pencegahan buli, termasuk ceramah setiap tiga bulan. Peti aduan pula diperluaskan agar pelajar mudah menyalurkan aduan secara terus.
“Semua langkah ini untuk memastikan kes seumpama ini tidak berulang,” jelas Hannah.








