Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.
Kemalangan berkenaan menyebabkan tujuh maut, manakala 33 lagi dilaporkan cedera.
Mangsa yang terbunuh membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz berkata, nahas itu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.
“Lima mangsa adalah pemandu dan penumpang Toyota Estima, membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.
“Manakala, dua lagi mangsa masing-masing seorang pemandu bas persiaran dan wanita yang juga penumpang bas berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Pisar berkata, 17 mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka, 10 mangsa ke Hospital Alor Gajah dan enam lagi ke Hospital Pantai Ayer Keroh.
Dalam pada itu, PLUS dalam hantaran di media sosial memaklumkan laluan arah utara telah dibuka manakala laluan kontra arah utara dan lencongan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh dinyahaktifkan.
“Lorong kanan arah Selatan masih ditutup,” katanya.
Sumber: Harian Metro, PLUS Malaysia








