Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan yang ditahan di sebuah hotel di Thailand pada Jumaat lalu kerana memiliki 6,000 pil kuda dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat pagi tadi.
Dalam satu perkongsian video di TikTok Abe Awani, keenam-enam individu berkenaan dibawa menaiki trak polis.
Orang ramai termasuk ahli keluarga kelihatan menunggu di balai polis Sungai Golok dan kedengaran memanggil nama-nama suspek.
Menerusi laporan Berita Harian, kesemua suspek akan dihantar ke mahkamah di Narathiwat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapan berkata kesemua mereka dihantar ke mahkamah bagi membolehkan polis mendapatkan penahanan lanjut terhadap suspek.
“Mereka akan ditahan di mahkamah sementara siasatan kami berhubung kes itu selesai.
“Mereka disiasat atas dua kesalahan iaitu memiliki pil kuda dan memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Terdahulu, tular mengenai berita penahanan enam warga tempatan termasuk penyanyi terkenal di Kelantan yang didakwa memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel .
Sumber: Berita Harian








