5 individu maut dirempuh kereta yang dipandu remaja 16 tahun - The Reporter

5 individu maut dirempuh kereta yang dipandu remaja 16 tahun

5 individu maut dirempuh kereta remaja 16 tahun
Antara kereta yang terbabit dalam kemalangan itu | Foto: Orang Awam

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Lima individu maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru, tengah hari Selasa, 14 Januari 2025.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, empat mangsa, termasuk seorang wanita, meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka berusia antara 16 hingga 45 tahun.

“Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 16 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari apabila sebuah Proton Saga dari arah Jalan Lapangan Terbang ke Jalan Seria Raja hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Kereta itu kemudian merempuh dua motosikal dan dua kereta lain.

Pemandu Proton Saga, remaja lelaki berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu, mengalami kecederaan di leher dan sedang dirawat di HUS.

“Tiga mangsa lain turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut di HUS. Kenderaan lain yang terlibat ialah sebuah Toyota Altis, sebuah lagi Proton Saga, serta dua motosikal jenis Yamaha dan Modenas,” jelasnya.

Menurut Mohd Farhan, remaja itu akan ditahan selepas menerima rawatan di HUS untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Asisten Superintendan Lucas Apin di talian 013-8246881 atau 082-259900, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!