44 maut, 279 hilang dalam kebakaran besar di Tai Po, Hong Kong | The Reporter

44 maut, 279 hilang dalam kebakaran besar di Tai Po, Hong Kong

Kebakaran besar yang berlaku di Tai Po, Hong Kong.
Gambar: SCMP HK

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seramai 44 orang dilaporkan maut manakala 279 lagi masih hilang selepas kebakaran besar memusnahkan sebuah perumahan di kawasan Tai Po, Hong Kong.

Kebakaran yang bermula pada 2.51 petang Rabu di Wang Fuk Court itu merebak dengan pantas, menyebabkan api marak memusnahkan perancah buluh serta jaring hijau pada struktur pembinaan dan seterusnya menjilat tujuh daripada lapan blok kediaman di kawasan tersebut. Rakaman di lokasi menunjukkan perancah buluh di luar beberapa unit kediaman hangus terbakar dan runtuh ke tanah ketika api marak ke arah bahagian luar bangunan.

Ketika operasi menyelamat dijalankan, pihak polis menerima banyak panggilan mengenai penduduk yang terperangkap dalam blok tempat api bermula, termasuk seorang lelaki dan seorang wanita yang ditemui tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan melecur. Kebakaran itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai Amaran Tahap 1, namun keadaannya yang tidak terkawal menyebabkan ia dinaikkan ke Tahap 4 pada 3.34 petang dan seterusnya ke Tahap 5, tahap tertinggi, pada 6.22 petang.

Baca juga:
45 mangsa dalam keadaan kritikal

Dalam kalangan puluhan yang dikejarkan ke hospital, 45 mangsa dilaporkan dalam keadaan serius. Setakat awal pagi Khamis, pihak bomba memaklumkan bahawa empat daripada tujuh blok telah berjaya dikawal, sekali gus membolehkan pasukan penyelamat memulakan operasi mencari mangsa terselamat di tingkat bawah bangunan.

Sementara itu, Presiden Xi Jinping menyampaikan ucapan takziah dalam kenyataan rasmi pada lewat malam dan menggesa supaya semua agensi berkaitan melakukan “usaha habis-habisan” untuk mengurangkan korban serta meminimumkan kerugian.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan penuh, termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kejadian itu, memandangkan punca kebakaran masih belum dikenal pasti sepenuhnya.

Sumber: SCMP HK

Related Posts