Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mendedahkan seramai 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat sebarang bayaran sejak menamatkan pengajian.
Beliau berkata, kumpulan peminjam tegar ini membabitkan mereka yang telah menamatkan pengajian sejak 10 tahun lalu atau lebih, dengan jumlah keseluruhan pinjaman yang masih tertunggak kini mencecah RM5 bilion.
“Ini membabitkan mereka yang dari hari pertama selepas tamat pengajian sampai sekarang tidak pernah membuat bayaran. Bukan mereka yang baru tamat satu atau dua tahun lalu, tetapi ada yang sudah 20 tahun tidak membayar.
“Kumpulan ini tidak pernah membuat sebarang bayaran langsung selepas tamat pengajian. Seramai 400,000 peminjam terlibat dengan jumlah pinjaman sebanyak RM5 bilion,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan peminjam, terutama mereka yang berdepan kesukaran kewangan.
Menurutnya, PTPTN menyediakan pelan penstrukturan semula pinjaman bagi membantu peminjam menyusun semula bayaran agar lebih mampu dan tidak membebankan.
“Sekiranya peminjam mempunyai tunggakan yang besar, kami akan meminta bayaran pendahuluan sebagai langkah awal, namun jumlahnya boleh dirunding.
“Kami tidak akan meminta bayaran penuh sehingga 100 peratus atau separuh daripada jumlah tunggakan. Biasanya, kami hanya minta beberapa bulan ansuran bulanan bergantung kepada tempoh tunggakan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, jumlah bayaran yang perlu dibuat akan ditentukan berdasarkan slip gaji peminjam, iaitu sekitar lima hingga enam peratus daripada gaji bulanan mereka. Selain itu, umur peminjam turut diambil kira dalam penentuan tempoh bayaran.
“Jumlah yang perlu dibayar pula kita akan lihat pada slip gaji mereka dan mungkin sekitar lima ke enam peratus pada gaji bulanan. Kita juga lihat pada umur peminjam.
“Kalau peminjam contohnya berusia 40 tahun, tempoh bayaran boleh dilanjutkan sehingga 60 tahun. Kita ada beberapa parameter dalam menentukan berapa rendahkah ansuran bulanan yang boleh kita berikan dan amaun bayaran permulaan,” katanya.








