4 'pengawal keselamatan' bertopeng & bersenjata merompak kedai emas di pusat beli belah Kajang | The Reporter

4 ‘pengawal keselamatan’ bertopeng & bersenjata merompak kedai emas di pusat beli belah Kajang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Satu video tular merakamkan kejadian empat lelaki yang berpakaian seperti uniform pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas di pusat beli belah di Kajang, semalam.

Keempat-empat suspek berkenaan dilihat yang memakai topeng bertindak memecahkan kotak pameran kaca menggunakan tukul besi dan mengambil barangan kemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman berkata kejadian dipercayai berlaku jam 3.17 petang.

“Kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan gelap masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.

“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis,” katanya.

Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan.

Jumlah kerugian masih dalam siasatan

Dalam pada itu, Mohamad Nasir turut menyatakan,jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768,” katanya.

Sumber: Jaringan X, Harian Metro

Related Posts