Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Maghribi dikecam hebat selepas dilaporkan membunuh berjuta-juta anjing jalanan menjelang Piala Dunia FIFA 2030. Tindakan ini dikatakan bertujuan membersihkan kawasan bandar untuk menyambut pelancong dan peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Aktivis hak asasi haiwan mendakwa lebih 3 juta anjing jalanan akan dibunuh dalam kempen ini. Ribuan anjing sudah dilaporkan mati, dan jumlahnya dijangka meningkat menjelang kejohanan itu.
Jane Goodall seru FIFA bertindak

Pakar pemuliharaan terkenal, Dr. Jane Goodall, telah menghantar surat kepada FIFA untuk menyuarakan kebimbangan mengenai pembunuhan besar-besaran ini. Dalam suratnya, beliau berkata, “Saya terkejut mengetahui anjing jalanan dibunuh dengan kejam demi menjadikan bandar kelihatan lebih cantik untuk pelawat Piala Dunia.”
Dr. Goodall turut memberi amaran, tindakan ini boleh mencemarkan nama baik FIFA.
“Peminat bola sepak yang mencintai haiwan akan kecewa. Tindakan ini mungkin menyebabkan boikot terhadap Maghribi dan tekanan kepada penaja seperti Qatar Airways untuk menarik diri,” tambahnya.
Kaedah pembunuhan kejam
International Animal Coalition mendedahkan, pihak terbabit menggunakan cara yang kejam untuk membunuh anjing-anjing ini. Ada yang diracun menggunakan bahan kimia seperti strychnine, sama ada melalui suntikan atau umpan makanan. Anjing lain ditembak oleh penembak yang berkeliaran di jalanan, ada juga yang ditangkap menggunakan alat khas dan dibawa ke lokasi tertentu untuk dibunuh dengan cara tidak berperikemanusiaan.
Menurut kumpulan itu, pembunuhan semakin meningkat sejak FIFA mengumumkan Maghribi sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2030. Walaupun kerajaan Maghribi mendakwa kempen ini dihentikan pada Ogos 2024, tetapi laporan terkini menunjukkan ia masih berlaku.
Dr. Goodall menggesa FIFA menggantung hak penganjuran Maghribi jika pembunuhan ini tidak dihentikan segera. Kumpulan hak haiwan juga mencadangkan alternatif yang lebih berperikemanusiaan seperti program kawalan populasi anjing secara saintifik. Namun, sehingga kini FIFA masih belum memberi sebarang komen berhubung isu ini. – Agensi