2 mat rempit buat aksi 'Superman' di lorong kanan, ditahan polis - The Reporter

2 mat rempit buat aksi ‘Superman’ di lorong kanan, ditahan polis

Ahad lalu tular di media sosial video dashcam menunjukkan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya sehingga menghalang laluan kenderaan lain yang menggunakan lorong kanan.

Walaupun saksi kejadian telah membunyikan hon beberapa kali, namun mereka berdegil dan enggan memberi laluan.

Bagaimanapun, tindakan dua suspek terbabit mengundang padah apabila video itu menarik perhatian polis yang kemudian menahan mereka untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan secara berasingan pada jam 11 pagi di Tanjung Tualang, Batu Gajah.

Mereka mengaku menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi Superman seperti yang ditunjukkan dalam video tular di Kilometer 329, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara.

Semakan mendapati, dua suspek yang bekerja sebagai penyelenggara mesin sawit dan juruteknik itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Justeru, suspek dan motosikal yang digunakan dalam kejadian itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Kosmo! Online (Asliza Musa)

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!