Seorang pemandu OKU e-hailing, Ong Ing Keong, 48, mendakwa telah diserang oleh seorang anggota rombongan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Mei lalu dan telah dirakam oleh kamera kereta Ong.
Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, Ong, yang kelihatan emosi dan menangis, mendedahkan klip video yang menunjukkan dia ditumbuk oleh seorang pengiring ketika penumpangnya baru sahaja masuk ke dalam kereta.
Peguam Ong, N Surendran berkata, hampir dua setengah bulan telah berlalu sejak kejadian itu, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
“Saya tidak tahu apa sebabnya, kerana bukti adalah jelas,” kata Surendran.
“Tiada siapa yang diheret ke muka pengadilan,” tambahnya lagi, meluahkan kekecewaan terhadap pihak berkuasa yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya.
Mei lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah menggesa siasatan menyeluruh berhubung insiden ini.
Baginda menekankan bahawa tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang tidak akan dibenarkan dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara telus dan adil.
TMJ juga berharap agar keadilan diberikan kepada mangsa dan semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan.
Sumber: MalaysiaKini, Berita Harian