Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Di tengah-tengah kebanjiran kisah rogol, bunuh, sumbang mahram dan buli sampai mati, saya terasa seperti mendapat satu suntikan positif apabila baca tentang kisah bekas pelakon, Edika Yusof.
Kembali menyerahkan masalah masalah kepada Allah ternyata itu adalah satu pilihan yang tidak mungkin akan tersalah. Patutlah Edika mendapat kekuatan untuk terus bertahan selama 12 tahun. Ya, 12 tahun setia menjaga isteri, menyuap makan, menukar lampin, mendukungnya ke bilik air untuk mandi.
Bekas model dan pelakon, Edika Yusof, 49, yang menghilangkan diri dari industri hiburan lebih dari 20 tahun rupa-rupanya terpaksa memberi fokus pada keluarganya. Isterinya Norhidayah Yusri, lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak perempuan mereka, Fareena Nurul Haq, menyebabkan Edika tidak dapat menerima sebarang tawaran berlakon.
“Saya menerima banyak tawaran berlakon tetapi saya tidak dapat terima kerana saya perlu menjaga isteri saya. Kami ada pembantu rumah tetapi bila isteri saya perlu dibawa dan diangkat, saya masih perlu berada di sisinya untuk itu,” katanya yang pernah berlakon dalam filem Maria Mariana, 1996.









