Zelenskyy beri amaran kepada Trump, usah terperdaya dengan Rusia dalam konflik Iran-Israel | The Reporter

Zelenskyy beri amaran kepada Trump, usah terperdaya dengan Rusia dalam konflik Iran-Israel

Volodymyr Zelenskyy beri amaran kepada Donald Trump agar tidak terperdaya dengan taktik Rusia yang diketuai Vladimir Putin dalam konflik Iran-Israel
Zelenskyy beri amaran kepada Trump agar tidak terperdaya dengan taktik Rusia dalam isu Iran-Israel

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Zelenskyy dakwa Rusia berpura-pura bantu Iran untuk alih perhatian Trump dari Ukraine
• Trump akui Putin hubunginya untuk tawar jadi perantara damai Iran-Israel
• Institut kajian perang percaya tawaran Putin hanya taktik geopolitik

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberi amaran kepada Donald Trump supaya tidak terperdaya dengan Rusia yang kononnya menyokong Iran dalam konflik dengan Israel, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk mengalihkan perhatian Amerika daripada perang di Ukraine.

Menurut laporan Interfax-Ukraine pada 20 Jun, Zelenskyy berkata, “Putin mahu kami ditinggalkan tanpa sokongan Amerika. Bagi Presiden Trump, situasi Iran-Israel jelas menjadi keutamaan sekarang. Rusia tak mampu pun bantu Iran, mereka tak cukup kuat. Saya rasa itu juga satu isyarat kepada Presiden Trump.”

Zelenskyy turut meluahkan kebimbangan jika Trump membuat perjanjian dengan Moscow hingga mengorbankan Ukraine.

“Saya nak tegaskan sekali lagi, kami sedang beri isyarat dan mahukan ketelusan penuh. Kami berharap Presiden Trump akan buat keputusan yang betul dari sudut sejarah. Berdiri bersama kami adalah berada di pihak yang benar dalam sejarah. Putin ialah penceroboh dan penceroboh akan kalah pada akhirnya,” katanya.

Adakah Putin ikhlas mahu berdamai atau ada udang di sebalik batu?

Kenyataan Zelenskyy ini muncul selepas Trump mendedahkan pada 15 Jun yang lalu, beliau terbuka untuk melihat perdamaian antara Iran dan Israel, malah mempertimbangkan peranan Presiden Rusia sebagai orang tengah.

“Dia (Putin) sudah bersedia. Dia menghubungi saya dan kami berbual panjang,” kata Trump.

Namun begitu, Institute for the Study of War (ISW) dalam laporan bertarikh 16 Jun mendakwa, langkah Putin itu sebenarnya hanyalah cubaan Kremlin untuk menunjukkan Rusia masih berpengaruh dan penting dalam hal ehwal global. Dengan harapan dapat menarik perhatian Trump dan mengalihkan fokus Amerika daripada konflik Ukraine.

Perkara sama turut disentuh oleh Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, yang menulis di platform X pada 17 Jun.

“Putin sepatutnya berdamai di Ukraine dulu sebelum sibuk mahu berdamai di Timur Tengah.”

Trump pula pada 18 Jun dilaporkan tidak begitu serius mempertimbangkan cadangan Putin, meskipun sebelumnya mengakui mereka telah ‘berbual’ panjang.

Sumber: The New Voice of Ukraine

Related Posts