Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui tidak bernyawa di kawasan sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, adalah mati dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati ada kesan kecederaan di bahagian leher dan badan.
Zayn Rayyan cuba pertahankan diri
Mayat ditemui dengan kesan jerut di leher, dipercayai dicekik sehingga mati. Malah ada beberapa kecederaan lain di badannya seperti kesan luka untuk mempertahankan diri.
Polis percaya mangsa berkemungkinan dibunuh di tempat lain dan telah meninggal dalam tempoh 48 jam. Sebelum dicampak ke anak sungai yang merupakan kawasan terpencil dan jarang dilalui orang ramai.
Selain itu, polis turut mengesyaki suspek tahu akan selok-belok di kawasan kejadian. Sedangkan pihak berkuasa dan orang awam yang melakukan pencarian di kawasan itu tidak menemui mangsa. Tetapi pada lewat malam Rabu, mayat mangsa ditemui di lokasi tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302
Sebelum ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, namun kini telah ditukar kepada kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan dan sepasukan penyiasat telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengumpul segala bukti dan petunjuk. Dalam masa sama, polis juga sedang berusaha mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
Semua saksi iaitu ibu bapa mangsa, jiran dan orang awam yang menemui mayat mangsa turut dipanggil untuk membantu siasatan.
Sumber: Bernama, Harian Metro