Susulan musibah banjir yang berlaku di beberapa negeri, penerbit Datuk Yusof Haslam membuat keputusan untuk membatalkan perancangan untuk bercuti bersama keluarga ke luar negara.
Katanya, tidak sesuai sekiranya mereka sekeluarga pergi bercuti sedangkan ada sebahagian rakyat di Pantai Timur ditimpa ujian termasuklah rakan-rakan dan juga staf Skop Production.
Menurut Yusof juga, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan dulu percutian mereka dan belum memikirkan lagi mengenai hal tersebut.
“Pada ketika ini, hari-hari dalam keadaan hujan dan banjir berlaku yang menyebabkan rakyat Malaysia pun muram. Jadi, kami (sekeluarga) buat keputusan batalkan perancangan percutian. Tak pergi mana-manalah.
“Tahun lalu pun, kita dah pergi ke Jepun bercuti sekeluarga. Jadi, untuk tahun ini (bercuti) kita berehatlah. Kita tangguhkan dulu dan pada tahun depan (2025) pun kita belum fikirkan lagi, fikir kemudian nanti.
“Kita nak pergi seronok-seronok bercuti pun tak selesa sebab mengenangkan ada kawan-kawan dan staf Skop Productions yang kediaman mereka tenggelam akibat banjir di Kelantan. Jadi, lebih baik duit yang ada itu disedekahkan untuk bantu mereka,” katanya.
Kongsinya, semasa tahun 2014 ketika banjir besar belaku di Kuala Krai, beliau bersama kumpulan bantuan ke lokasi banjir untuk membantu keluarga staf yang telah kehilangan rumah dan musnah akibat musibah itu.
“Jadi, kali ini pun saya rasa tak manislah untuk kita sekeluarga ke luar negara bercuti sebab ada antara staf syarikat saya yang bersedih kerana ditimpa musibah berkenaan. Lebih baik saya bantu mereka saja,” katanya.
Sumber: Harian Metro








