Wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan maut selepas ditembak sebanyak tujuh das dalam insiden tragis ketika membuat liputan di Kawasan Al-Sabra, Gaza City.
Menurut laporan trtworld, kejadian berlaku ketika pasukan keselamatan Hamas sedang mengepung sekumpulan militan bersenjata di kawasan tersebut. Dalam kekecohan itu, Saleh Aljafarawi dipercayai dikepung oleh kumpulan bersenjata sebelum ditembak mati.
Sebelum berita kematiannya disahkan, beberapa rakan wartawan di Gaza melaporkan bahawa Saleh Aljafarawi dilaporkan hilang ketika sedang membuat liputan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti media mengenai keselamatannya.
Baca juga:
- Tentera Israel akui tembak kereta dinaiki Hind Rajab, buka siasatan jenayah
- Filem Niu Lai dikecam kerana animasi, tiba-tiba meletup di pawagam China
- Gagal ke Piala Dunia, Omar Artan kini cipta sejarah di UEFA Super Cup
Beberapa jam sebelum kejadian, Aljafarawi sempat memuat naik hantaran di media sosial yang memperlihatkan kemusnahan di Gaza serta detik dia bermain bersama kucing peliharaannya. Video beliau meraikan pengumuman gencatan senjata bersama masyarakat Gaza turut tular di media sosial.
“Rakyat Gaza berhak untuk bergembira dan tidur dengan aman di tanah air mereka kini,” katanya.
Rakaman video terakhir pula menunjukkan beliau tersenyum sambil membantu sekumpulan kanak-kanak memakai vest bertulis ‘PRESS’.
“Walaupun mereka menyasarkan kami, anak-anak akan mengambil tempat kami dan meneruskan misi ini.
“Saya sedang mendidik generasi baharu,” katanya.
Pemergian Saleh Aljafarawi meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan media dan masyarakat Gaza, yang menganggap beliau sebagai simbol keberanian dan dedikasi dalam menyampaikan kebenaran di tengah-tengah konflik yang tidak berkesudahan.








