Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar pendirian Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menegaskan bahawa sebuah negara Palestin tidak akan diwujudkan selagi beliau memegang jawatan berkenaan.
Menerusi hantaran di media sosial, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai satu pendirian yang tidak mengenang budi, sambil mempersoalkan sejarah penubuhan Israel di bumi Palestin.
“Ini adalah kenyataan yang paling tidak mengenang budi. Tiada Israel sebelum ini sehingga tanah Palestin dipisahkan untuk mewujudkan negara Israel,” katanya.
Tun Dr Mahathir turut mendakwa sikap menghargai jasa atau mengenang budi bukanlah ciri yang ada pada Netanyahu dan penyokongnya.
Baca juga:
- KPM diminta beri perhatian cabaran guru Pulau Bum Bum
- Pemuda MCA lapor polis dakwaan ancaman terhadap pempengaruh Zarif
- Tun M kecam Netanyahu, sifatkan penolakan negara Palestin sebagai tidak mengenang budi
Kenyataan itu dibuat susulan pendirian Netanyahu yang semakin tegas menolak penubuhan negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Netanyahu sebelum ini dilaporkan berkata bahawa selagi beliau menjadi Perdana Menteri Israel, negara Palestin tidak akan diwujudkan sama ada di Gaza mahupun Tebing Barat. Kenyataan itu dibuat ketika Israel menolak pelan damai Gaza yang dicadangkan pentadbiran Amerika Syarikat.
Pendirian Netanyahu itu bukan perkara baharu. Reuters pernah melaporkan pada Mac 2015 bahawa beliau berkata negara Palestin tidak akan diwujudkan di bawah pemerintahannya sekiranya beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri.
Kenyataan terbaharu Tun Dr Mahathir itu sekali lagi memperlihatkan kritikan keras beliau terhadap dasar Israel serta pendirian kepimpinan negara berkenaan yang menolak pembentukan sebuah negara Palestin.









