Seorang wanita meninggal dunia selepas mengalami reaksi alergi ketika menjalani imbasan CT di hospital.
Leigh Rodgers, 34, dari County Durham, mengalami sakit gigi teruk selama dua minggu tetapi tidak mendapatkan rawatan segera daripada doktor gigi. Akibat kesakitan yang semakin menjadi-jadi hingga ke leher dan dada, pasangannya, Darren, menghubungi ambulans.
Di Hospital Universiti North Durham, doktor mengesyaki Rodgers mungkin mengalami Ludwig’s angina, iaitu jangkitan bakteria serius yang boleh berlaku akibat jangkitan gigi. Bagi mengesahkan keadaan itu, doktor mencadangkan imbasan CT menggunakan bahan pewarna khas berasaskan iodin.
Ketika berada dalam mesin imbasan, Rodgers tiba-tiba mengalami kejutan anafilaksis, iaitu reaksi alergi yang teruk. Pasukan perubatan segera cuba menyelamatkannya, tetapi selepas lebih 90 minit usaha dilakukan, dia disahkan meninggal dunia pada jam 6.15 petang.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah reaksi alergi terhadap bahan pewarna tersebut. Dr Oliver Moore, pakar perubatan kecemasan, berkata imbasan CT itu perlu dilakukan kerana simptom Rodgers menunjukkan kemungkinan jangkitan berbahaya.
Koroner Crispin Oliver menyifatkan kematian itu sebagai kes luar biasa dan berharap perkara sebegini tidak berulang. – Agensi








