'Saya tak kaya pun, tapi hidup tenang di sini' - Wanita Perancis tak sangka Malaysia macam ni | The Reporter

‘Saya tak kaya pun, tapi hidup tenang di sini’ – Wanita Perancis tak sangka Malaysia macam ni

Wanita Muslim Perancis bergambar di surau dan pemandangan Menara Berkembar Kuala Lumpur
Wanita Muslim dari Perancis ini berkongsi betapa hidup di Malaysia lebih tenang dan mesra Muslim.

Malaysia mungkin negara yang biasa-biasa di mata sesetengah orang, tapi bagi wanita Muslim dari Perancis ini, ia adalah tempat yang membuatkan dia rasa cukup, selesa dan diterima.

Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, @byassiaslmn berkongsi pengalamannya selepas beberapa bulan tinggal di Kuala Lumpur. Katanya, dengan pendapatan yang tak sampai gaji minimum di negaranya, dia masih mampu tinggal di apartment yang menyediakan kolam renang dan gim. Di Perancis, kemudahan sebegitu biasanya hanya untuk golongan berada sahaja.

Hidup sebagai Muslimah terasa lebih mudah

Malaysia juga sangat memudahkan kehidupan seorang Muslim. Dia berkongsi betapa mudahnya mencari makanan halal dan tempat solat juga tersedia di merata-rata seperti di pusat beli-belah, lapangan terbang, dan stesen MRT.

Bercakap tentang pengangkutan awam, @byassiaslmn sering menaiki tren seorang diri dan berasa sangat selamat. Sistem pengangkutan menurutnya sangat bersih dan adanya gerabak khas wanita menjadikan pengalaman itu lebih selesa.

Makanan di Malaysia juga sedap, halal dan mampu milik. Daripada roti ala Cina hingga ke nasi lemak, semua boleh dinikmati tanpa perlu berbelanja besar.

Baca juga:

Masjid yang tenang

Dia turut memuji masjid-masjid tempatan yang disifatkannya sebagai cantik, luas dan sangat bersih. Tempat-tempat itu memberi rasa tenang setiap kali dia bersolat di dalamnya.

Segala yang dikongsi bukanlah sekadar pujian kosong, tetapi pandangan jujur seseorang yang melihat Malaysia dengan mata yang segar. Apa yang kita anggap biasa, bagi orang lain mungkin satu nikmat yang tak ternilai.

Ramai rakyat Malaysia yang menonton videonya meninggalkan komen penuh rasa syukur dan terharu.

“Terima kasih sebab melihat keindahan negara kami,” tulis seorang pengguna.

“Kadang-kadang kita terlupa betapa bertuahnya kita,” tambah yang lain.

Kadangkala, kita perlukan orang luar untuk menyedarkan kita bahawa banyak perkara dalam hidup kita sebenarnya patut diraikan, bukan dikeluhkan.

Related Posts