Wanita mohon maaf, minta netizen berhenti kecam bekas suami & pasangan | The Reporter

Wanita mohon maaf, minta netizen berhenti kecam bekas suami & pasangan

Wanita Mohon Maaf

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita tampil memohon maaf ekoran tindakannya yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial selepas berkongsi ucapan tahniah kepada bekas suaminya yang telah berkahwin baharu. Kisah tersebut, yang mula mendapat perhatian sejak 17 Oktober lalu, akhirnya mencetuskan perbualan hangat apabila netizen mula mengecam bekas suaminya serta pasangannya.

Walaupun pada awalnya perkongsian itu dibuat dengan niat baik, iaitu untuk mengelakkan fitnah dan menjawab persoalan netizen, ramai yang salah faham dan menuduh wanita tersebut cuba membuka aib bekas suami. Tidak lama kemudian, beberapa netizen ‘terlebih prihatin’ dengan membongkar identiti isteri baharu lelaki itu dan mendedahkan maklumat peribadinya di media sosial.

Menyedari keadaan yang semakin tidak terkawal, wanita tersebut akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Ahad malam.

“Saya ingin memohon maaf kepada bekas suami, isteri baharunya, serta keluarga mereka berhubung posting yang viral di Facebook. Semua ini adalah khilaf daripada saya,” katanya.

Menurutnya lagi, tujuan asal dia memuat naik gambar perkahwinan bekas suaminya adalah kerana dia menerima banyak mesej bertanya mengenai hal tersebut.

“Semua orang tertanya-tanya dan tag saya di Facebook. Posting saya bukan untuk membuka aib atau menyindir, tetapi untuk menjelaskan keadaan dan mengelakkan fitnah,” jelasnya lagi.

Jururawat itu juga mendedahkan bahawa dia sudah mengetahui tentang perkahwinan bekas suaminya sejak Julai dan keputusan untuk berpisah dibuat secara baik tanpa sebarang perbalahan.

“Sepanjang perkahwinan, suami menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik terhadap saya dan juga anak. Kami berpisah secara baik dan tiada pertelingkahan,” ujarnya.

Wanita itu turut merayu kepada orang ramai agar menghentikan segala kecaman dan hinaan terhadap bekas suaminya serta pasangannya.

“Sehingga hari ini, ramai yang masih memberi komen negatif dan memaki. Saya berharap kita semua dapat mengambil iktibar dan mendoakan yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Sumber: mStar

Related Posts