Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga kepada remaja lelaki berusia 16 tahun yang menjadi punca kemalangan maut di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru, meluahkan rasa sedih apabila remaja itu dikecam teruk oleh netizen.
Melalui hantaran di media sosial yang kini tular, individu tersebut mempertikaikan kecaman keterlaluan yang diterima remaja terbabit kerana disifatkan seperti hanya dia yang bersalah dalam insiden tersebut.
Laporan berkaitan: 5 individu maut dirempuh kereta yang dipandu remaja 16 tahun
“Orang menyangka saya tidak bersedih terhadap mangsa kemalangan, sedangkan sayalah yang lebih sedih. Saya selalu berpesan kepada dia jangan memandu kereta dengan laju,” tulisnya dalam bahasa Iban.

Menurutnya, orang ramai seolah-olah menghukum remaja itu secara berlebihan hanya kerana dia bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.
“Mungkin anda belum mengalami kejadian seperti ini. Tak perlu nak komen seperti malaikat baru jatuh dari langit. Sekarang ada undang-undang dan biarkan pihak berkuasa selesaikan. Tak perlu nak kecam dia sangat.
“Kalaulah dia tu ahli keluarga anda, takkan nak berdiam diri saja apabila orang mengecam dia dengan keterlaluan,” katanya lagi.
Dia turut menegaskan supaya pihak berkuasa diberi ruang untuk menjalankan siasatan tanpa tekanan daripada pihak luar.
“Saya sedih mengenang anak saya dikecam ramai seperti memang dia yang bersalah. Saya bukan nak mempertahankan dia, tetapi saya sedih dengan kecaman netizen melampau.
“Mungkin hari ini dia kena (musibah), suatu masa nanti kamu orang juga akan terkena, barulah tahu apa yang dia rasa,” ujarnya.
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadamkan selepas tular, dan wanita berkenaan bertindak mengunci akaun Facebooknya daripada diakses oleh orang awam.
Terdahulu, kemalangan yang berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari itu melibatkan lima kenderaan, termasuk dua motosikal, di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru. Lima individu dilaporkan maut, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang meninggal dunia di hospital.
Remaja yang memandu Proton Saga tanpa lesen itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain di laluan bertentangan.