Dua wanita cedera ditikam dan dilibas oleh seorang lelaki di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Jalan SS 5A/10 Kelana Jaya tengah hari tadi.
Salah seorang mangsa yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al-Ehsaniah dikatakan cuba membantu seorang wanita yang sedang bergelut dengan seorang lelaki namun turut dicederakan oleh suspek.
Suspek kemudiannya dikatakan melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Audi.
Menurut guru sekolah berkenaan, Salwiah Yusof berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang membuat persiapan untuk memulakan sesi pembelajaran waktu petang manakala guru lelaki ke masjid menunaikan solat Jumaat.
“Kami dengar jeritan minta tolong sebelum lihat guru besar dan seorang wanita berlumuran darah di dalam tandas surau,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian wanita berusia 20-an itu dipercayai singgah untuk menunaikan solat Zohor dan masuk ke dalam tandas surau sebelum diserang seorang lelaki.
“Secara tiba-tiba kami terdengar suara jeritan wanita dan guru besar yang berada berhampiran terus berlari ke tandas untuk memeriksa apa yang berlaku.
“Guru besar lihat wanita terbabit sedang bergelut dengan lelaki itu dan ada kesan cedera di perut dipercayai ditikam. Ustazah cuba membantu mangsa tapi turut dilibas suspek menyebabkan cedera di tangan,” katanya.
Kedua-dua mangsa dilaporkan telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Sumber: Harian Metro