Wanita ditahan, disyaki menyamar staf HSAJB minta deposit wad | The Reporter

Wanita ditahan, disyaki menyamar staf HSAJB minta deposit wad

Seorang wanita ditahan selepas disyaki menyamar sebagai staf Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.
Gambar tular yang dikongsikan oleh pengguna Thread rajanurfarizah.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) memandang serius isu tular berkaitan dakwaan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa mengeluarkan resit rasmi.

Menurut kenyataan hospital, siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan merupakan petugas HSAJB, sekali gus menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial.

“Individu tersebut bukan kakitangan hospital dan perkara ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, tindakan segera telah diambil sebelum individu terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar membuat laporan mendakwa diminta membayar deposit sebanyak RM700 oleh seorang wanita yang dipercayai terlibat.

“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai bekerja sebagai sukarelawan di hospital berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Baca juga:

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila satu hantaran mendakwa ahli keluarga pesakit diminta membayar RM30 secara tunai bagi proses pendaftaran wad.

Hantaran berkenaan turut mendakwa tiada resit rasmi dikeluarkan dan wang yang diterima dimasukkan terus ke dalam poket individu terbabit.

Nasihat kepada orang awam

Dalam pada itu, HSAJB menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan hanya membuat sebarang bayaran di Kaunter Hasil rasmi hospital sahaja.

Orang awam turut diingatkan supaya memastikan setiap transaksi disertakan dengan resit rasmi yang sah, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: Facebook Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Sinar Harian

Related Posts