Polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol, Kuatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 6 September 2026, kira-kira jam 10.34 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 11 Ogos 2026.
Rakaman video yang tular di media sosial itu memaparkan mangsa berusia dua tahun lapan bulan dimarahi, ditarik rambut serta digoncang kepalanya oleh seorang wanita yang dipercayai kakitangan taska terbabit.
Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan wanita berkenaan bagi membantu siasatan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.

Baca juga:
- Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang
- ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing
- ‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes berkenaan membabitkan kanak-kanak.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.








