Kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun diserang sekumpulan anjing liar di Peserai, Batu Pahat, mendorong kerajaan negeri Johor mempergiatkan operasi menangkap haiwan berkenaan di kawasan yang dikenal pasti.
Memetik laporan Utusan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi itu sudah dimulakan sejak semalam, khususnya di sekitar lokasi kejadian.
Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menggandakan operasi menangkap anjing liar di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap haiwan yang mengancam keselamatan awam, selain anjing yang menyerang mangsa perlu diperiksa bagi menentukan sama ada dijangkiti rabies atau sebaliknya.
Mohd. Fared berkata, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) sebelum ini telah menjalankan tiga operasi tangkapan anjing liar di kawasan berkenaan sepanjang bulan lalu, dengan 22 ekor haiwan berjaya ditangkap. Bagaimanapun, masih terdapat banyak anjing liar berkeliaran di kawasan itu.
Baca juga:
- Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang
- ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing
- ‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
Sehubungan itu, beliau berharap PBT menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan anjing liar yang masih berada di kawasan berkenaan dapat ditangkap demi keselamatan penduduk.
Pada masa sama, beliau juga memaklumkan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menanggung kos rawatan kanak-kanak terbabit.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Peserai, sekitar jam 7 pagi. Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di hampir seluruh badan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.









