Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menegur kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa menyatakan bahawa menyokong atau menyertai PAS boleh membawa seseorang ke syurga.
Mahfuz menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai perkara berat yang perlu ditegur dengan tegas, sambil menegaskan bahawa PAS berhak meminta sokongan rakyat dan mengajak mereka mengundi parti itu, namun tidak mempunyai mandat untuk menentukan siapa yang akan masuk syurga.
Menurutnya, syurga adalah milik Allah SWT dan bukannya hak mana-mana parti politik untuk menjadikan sokongan atau undi sebagai seolah-olah tiket ke akhirat.
“Kalau benar satu undi kepada PAS boleh menjadi tiket ke syurga, saya ingin bertanya secara terus. Sejak bila kertas undi menjadi pasport ke akhirat dan sejak bila sebuah parti politik diberi kuasa menentukan destinasi akhirat manusia?” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, Islam mengajar bahawa kedudukan seseorang di sisi Allah ditentukan oleh perkara seperti iman, takwa, amal soleh, keadilan, amanah dan rahmat Allah SWT, bukannya berdasarkan warna bendera, logo parti atau nombor calon pada kertas undi.
Beliau turut bimbang kenyataan seumpama itu boleh mewujudkan persepsi bahawa umat Islam yang memilih parti lain seolah-olah berada di jalan yang salah dan tidak mempunyai tempat di syurga.
“Kalau jadi ahli, undi dan sokong PAS membawa ke syurga, adakah orang Islam yang tidak jadi ahli, tidak mengundi dan tidak sokong PAS akan dianggap masuk neraka?” soalnya.
Mahfuz secara sinis menyifatkan pejabat PAS bukan “kaunter imigresen akhirat” yang boleh memberikan cop syurga kepada mereka yang menunjukkan sijil keahlian atau bukti mengundi PAS.
Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan cara yang sihat untuk membawa Islam dalam politik kerana PAS dan Islam merupakan dua perkara yang berbeza.
“PAS bukan Islam. Islam jauh lebih besar daripada PAS,” katanya.
Baca juga:
- ‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
- Polis siasat dakwaan Hadi pernah ditawar AS jatuhkan kerajaan BN
- Guru taska didenda RM800 sebabkan kecederaan kanak-kanak autistik
Mahfuz berkata, sekiranya politik benar-benar mahu dijadikan sebagai perjuangan Islam, parti politik sepatutnya mengetengahkan isu amanah, keadilan, rasuah, kemiskinan, pendidikan, kebajikan rakyat dan akhlak dalam pemerintahan.
Beliau menegaskan perjuangan berteraskan Islam seharusnya dibuktikan melalui pentadbiran dan perbuatan, bukan dengan mendakwa sokongan kepada sesebuah parti sebagai tiket menuju akhirat.
“Saya ingin mengingatkan semua pimpinan politik, parti boleh meminta undi, tetapi parti tidak boleh menjual syurga. Parti boleh mendakwa membawa Islam, tetapi jangan sampai mengambil alih tempat Allah dalam menentukan siapa yang mendapat syurga,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata rakyat mempunyai kuasa menentukan kerajaan melalui undi dalam sistem demokrasi, manakala soal akhirat dan siapa yang mendapat rahmat serta syurga Allah SWT adalah hak mutlak-Nya.
Beliau menyeru semua parti politik, khususnya parti yang membawa nama Islam, supaya berpolitik dengan akhlak dan sifat tawaduk serta tidak menjadikan syurga sebagai umpan untuk mendapatkan undi rakyat.
“Undi rakyat jangan diperdagangkan dengan janji syurga. Syurga bukan milik PAS. Syurga milik Allah,” katanya.









