Wanita diceraikan suami, gara-gara buat keputusan buang sebelah payudara akibat kanser - The Reporter

Wanita diceraikan suami, gara-gara buat keputusan buang sebelah payudara akibat kanser

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Seorang wanita mendedahkan beliau telah diceraikan oleh suami selepas melakukan pembedahan membuang sebelah payudara akibat kanser tahap empat.

Menurutnya, selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap empat, dia mengambil keputusan untuk menjalani rawatan berkaitan penyakit dihidapinya itu.

Katanya, dia mengikut saranan doktor supaya sebelah daripada payudaranya dibuang, bagi mengelak sel kanser merebak.

Namun, dalam masa sama suaminya (bekas) tidak mahu dia membuang payudara yang mempunyai sel kanser itu.

“Saya nekad, walaupun tidak dibenarkan suami, namun saya teruskan pembedahan membuang sebelah payudara kerana nyawa adalah lebih penting,” katanya.

Gara-gara tindakannya itu, suami kemudian membuat tuntutan untuk menceraikannya kerana tidak bersetuju dengan tindakannya itu.

Diminta berubat secara tradisional

Katanya, dia akur dengan kehendak suaminya untuk menceraikannya dan dia tidak boleh menerima cadangan suaminya ketika itu yang memintanya berubat secara tradisional.

“Sebelum lafaz cerai, dia (suami) pernah berkata orang yang menghidap kanser payudara macam saya hanya mampu hidup setahun sahaja.

“Bagi saya ajal, maut, jodoh itu ketentuan Allah SWT dan selepas tujuh tahun pembedahan saya masih bernafas seperti biasa dan akibat tekanan daripada suami ketika itu, saya kini menghidap pelbagai penyakit termasuk kemurungan, penyakit sendi, tekanan perasaan dan pelbagai lagi,” katanya.

Menambahkan tekanan

Menurutnya, dia tidak menyangka ketika dia bertarung nyawa melawan kanser, suaminya tidak memberi semangat, malah menambah tekanan kepada dirinya.

“Kini saya anggap sudah terlepas dari ‘neraka dunia’ kerana tersalah dalam berkongsi hidup dengan manusia yang tidak pandai menghargai,” katanya.

Menurutnya, dia kini tenang dan tinggal bersama anak keduanya selepas diceraikan, dan tiga lagi anaknya tidak menyangka bapa mereka sanggup berbuat demikian angkara sebelah payudara dibuang akibat kanser.

Katanya, kalau hendak diungkit begitu banyak, namun dia mengambil keputusan hanya untuk mendapatkan haknya kembali iaitu nafkah penjagaan anak sahaja daripada bekas suami.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!