'Kedah tak bosan, cuma kau belum explore' - Netizen jawab wanita dalam video tular | The Reporter

‘Kedah tak bosan, cuma kau belum explore’ – Netizen jawab wanita dalam video tular

Wanita dalam video TikTok yang tular bercakap tentang pengalaman melancong ke Kedah
Rakaman video wanita ini mengundang reaksi pelbagai apabila dia kata Kedah membosankan sebab tak tahu nak ke mana.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Satu video tular di TikTok mencetus perdebatan selepas seorang wanita mendakwa dia tidak tahu ke mana mahu pergi semasa melancong ke Kedah, menyebabkan perjalanannya terasa membosankan.

Dalam video berkenaan, wanita itu berkata dia sudah bertanya kepada kawannya mengenai lokasi menarik di Kedah, namun yang disarankan ialah… Pulau Pinang.

“Aku tanya kawan aku mana best jalan-jalan kat Kedah, dia suruh aku pergi Penang. Tapi aku nak pusing Kedah,” katanya sambil berkongsi bahawa satu-satunya tempat yang sempat dikunjunginya hanyalah Pekan Rabu — untuk membeli shawarma.

https://www.tiktok.com/@scholarrzz/video/7497205620232228104

Kenyataannya itu pantas mengundang respons daripada ramai netizen, khususnya warga Kedah sendiri, yang mempertahankan keunikan negeri itu. Mereka tampil menyenaraikan pelbagai lokasi pelancongan tempatan yang sering menjadi pilihan pelancong untuk ‘healing’ dan menikmati suasana desa.

Antara lokasi paling banyak disebut termasuk Gunung Jerai, Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Geotapak Dolina Gunung Keriang, Kolam Air Panas Ulu Legong serta kawasan caving, hiking dan aktiviti ATV.

Malah, ada yang menekankan bahawa nilai pelancongan di Kedah bukan pada pusat beli-belah atau hiburan, tetapi pada pengalaman sebenar alam semula jadi — dari sawah padi terbentang luas, lembu berkeliaran di jalan kampung, bukit-bukau kecil di tengah bendang, hinggalah ke juadah tradisi di warung kampung.

“Aku datang Kedah sebab nak rasa suasana kampung dan nature. Kalau nak shopping complex, stay je kat KL,” komen seorang pengguna.

Perbincangan ini secara tidak langsung membuka mata ramai tentang potensi Kedah sebagai destinasi pelancongan domestik yang menawarkan ketenangan dan keindahan semula jadi berbanding sekadar hiburan bandar.

Related Posts