Wanita bukan Islam dikompaun kerana memakai seluar pendek di tempat awam, ini penjelasan MPKB | The Reporter

Wanita bukan Islam dikompaun kerana memakai seluar pendek di tempat awam, ini penjelasan MPKB

Seorang wanita bukan beragama Islam di Kelantan, telah dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bahru (MPKB) yang datang ke premisnya untuk membuat pemeriksaan mengejut.

Ketika anggota penguatkuasa MPKB datang ke lokasi, mereka mendapati pemilik perniagaan tersebut yang berusia 35 tahun itu hanya memakai seluar pendek di tempat awam.

Oleh kerana perbuatannya itu satu kesalahan yang melanggar undang-undang, anggota penguatkuasa MPKB mengenakan notis kompaun terhadap wanita berkenaan.

Gambar semasa kejadian

Wanita itu diberi masa selama seminggu untuk menjelaskan bayaran kompaun. Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapnya.

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, dia kemudian dipercayai telah menularkan kejadian itu di media sosial. Hantarannya itu telah mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Sedar dengan hantaran itu yang tular di media sosial. Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin tampil memberi penjelasan. Di bawah 34 (2)(b) Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019 menetapkan, pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam adalah perlu berpakaian sopan.

“Tindakan kompaun yang telah dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa MPKB terhadap pemilik perniagaan itu adalah selaras dengan Seksyen 34 (2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“Di mana pemegang lesen perniagaan hendaklah memastikan dirinya dan pekerjanya berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan aktiviti.

“Bagi yang bukan beragama Islam, memastikan dirinya dan pekerjanya yang bukan beragama Islam memakai pakaian sopan dan sekiranya pekerjanya beragama Islam, hendaklah memakai pakaian menutup aurat,” katanya.

Undang-undang itu telah lama berkuat kuasa dan ia terpakai untuk rakyatnya yang bukan beragama Islam.

Dalam pada itu, Rosnazli turut kesal dengan tindakan Sunny yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan sehingga mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap MPKB.

Ini kerana gambar yang dimuat naik oleh Sunny dalam hantaran itu adalah pakaian yang berbeza ketika dia dikenakan kompaun.

Gambar selepas kejadian

Sumber: Free Malaysia Today. MalaysiaKini

Related Posts