Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan jumlah masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan ditambah kepada 608 jam bagi tempoh enam tahun menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Menurut Fadhlina Sidek, penambahan sebanyak 32 jam berbanding struktur sedia ada itu dibuat sebagai usaha memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid sejak peringkat awal persekolahan. Langkah berkenaan juga mengambil kira dapatan laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang menekankan kepentingan asas numerasi yang mantap di sekolah rendah.
Beliau berkata, tambahan masa tersebut bukan sekadar meningkatkan jumlah jam pembelajaran, tetapi memberi ruang kepada murid memahami konsep Matematik secara lebih menyeluruh dan mengaplikasikannya dalam kehidupan harian. Pada masa sama, pendidik juga mempunyai peluang lebih luas untuk melaksanakan intervensi khusus terhadap murid yang memerlukan sokongan tambahan.
Penjelasan itu diberikan dalam jawapan bertulis kepada soalan Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang membangkitkan cadangan supaya masa pengajaran Matematik ditingkatkan sehingga sekurang-kurangnya 1,000 jam agar setanding dengan beberapa negara lain.
Baca juga:
- ‘Yang pasti Muhyiddin juga bukan lagi calon PM’ – Dr Samsuri
- Pemandu lori cedera ditembak, 2 suspek cedera dirempuh orang awam
- ‘Aku pelawak, budak gemuk… dan ya, aku masuk politik’ – Afdlin Shauki
Mengulas sejarah peruntukan masa sebelum ini, Fadhlina menjelaskan bahawa ketika pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) bermula 1993, Matematik diperuntukkan 3.5 jam seminggu. Namun apabila Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011, jumlah itu dikurangkan kepada tiga jam seminggu susulan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Peruntukan berkenaan kemudian dikekalkan dalam KSSR (Semakan 2017).
Di bawah KP2027, masa PdP Matematik ditetapkan sebanyak 3.5 jam seminggu bagi Tahap I serta tiga jam seminggu untuk Tahap II dan Tahap III. Selain penstrukturan semula masa pengajaran, kementerian ujarnya, turut melaksanakan intervensi melalui Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) bagi memastikan murid benar-benar menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum melangkah ke sekolah menengah.
“Matematik merupakan antara mata pelajaran utama yang menjadi fokus dalam pelaksanaan PLaN,” katanya.
Sumber: Astro Awani








