Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pelakon utama siri Fast & Furious, Vin Diesel, menyuarakan hasratnya untuk mengembalikan elemen perlumbaan jalanan (street racing) dan aksi praktikal dalam filem sambungan Fast X: Part 2.
Dalam hantaran di media sosial sempena Hari Kesyukuran, Diesel turut menyentuh mengenai kemungkinan bekerjasama semula dengan Dwayne Johnson, yang memegang watak Luke Hobbs.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Diesel berkongsi perkembangan terkini filem tersebut, mendedahkan terdapat perbezaan pendapat antara pihak yang terlibat dalam produksi tentang hala tuju francais itu.
Beliau menyatakan keinginan untuk “kembali kepada perlumbaan jalanan sebenar dan aksi praktikal,” elemen penting yang pernah menjadi daya tarikan utama filem bersiri ini pada peringkat awal.
Diesel turut menyebut harapannya untuk “mengembalikan semangat persaudaraan,” yang dipercayai merujuk kepada usaha memperbaiki hubungan tegang antara beliau dan Johnson.
Konflik ini bermula pada tahun 2016 semasa penggambaran filem kelapan, The Fate of the Furious.
Khabar mengenai kemungkinan kembalinya Johnson sebagai Luke Hobbs, selepas penampilan ringkas watak tersebut dalam adegan kredit filem Fast X pada 2023, pasti menggembirakan peminat. Namun, jadual Johnson yang padat, termasuk penggambaran filem Moana versi aksi nyata untuk Disney, mungkin akan menjadi halangan.
Dengan ulang tahun ke-25 francais ini yang semakin hampir pada 2026, cabaran di belakang tabir jelas menjadi isu yang perlu diatasi. Sama ada Fast X: Part 2 dapat memenuhi jangkaan peminat dan memberikan pengalaman sinematik yang hebat, hanya masa yang akan menentukan. – Agensi