Empat remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki membelasah seorang rakan mereka sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Residensi PRIMA Alam Damai, Cheras.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa, seorang wanita tempatan, kira-kira jam 12.54 pagi pada 5 Julai lalu.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut yang dirakam sebelum video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku akibat ketidakpuasan hati suspek terbabit terhadap mangsa.
“Kejadian disahkan berlaku di kawasan bawah blok Residensi PRIMA Alam Damai, Cheras. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Cheras menahan empat remaja lelaki tempatan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Baca juga:
- ‘Yang lantik menteri ialah PM, kalau tak suka pecat sajalah’ – Zahid
- Video tular remaja dibelasah: Empat suspek berusia 14 tahun ditahan
- Minyak masak paket Malaysia muncul dalam video TikToker Filipina cetus persoalan
Mohd Rosdi berkata, polis turut merampas telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian tersebut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
Beliau berkata, kesemua suspek telah direman dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini satu klip video kejadian tular di media sosial selepas ibu mangsa mendakwa anaknya menjadi mangsa serangan empat remaja.
Menurut hantaran wanita itu, anaknya mengalami keretakan tengkorak, pendarahan dalam kepala serta pendarahan pada telinga kanan akibat kejadian tersebut.
Wanita berkenaan turut memaklumkan bahawa laporan polis sudah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan keadilan.









