Polis menahan dua pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes mencederakan seorang pembantu rumah warga asing di sebuah kediaman di Tampoi.
Ketua Polis Johor memaklumkan, penahanan dibuat selepas polis mengesan empat video tular di media sosial yang memaparkan kejadian seorang wanita dipercayai pembantu rumah dipukul oleh dua lelaki dan dua wanita tempatan.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah sekitar Taman Johor, Johor Bahru pada 26 Julai lalu sebelum ia tular baru-baru ini di Facebook.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan IPD Johor Bahru Utara menahan kesemua suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun kira-kira jam 7.30 malam semalam.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, pakaian suspek, kamera litar tertutup (CCTV) serta dua pasport milik wanita warga asing yang dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan terbabit.
“Semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman sehari telah dibuat terhadap kesemua suspek di Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan, manakala dua lagi wanita yang juga pembantu rumah di kediaman sama sedang dikesan polis.
“Mereka dipercayai turut menjadi mangsa dan merakam kejadian sebelum melarikan diri, namun masih berada dalam negara,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.








