Di musim hujan yang tidak menentu ini, ada beberapa kawasan dilaporkan mengalami banjir kilat. Termasuk di kawasan jalan raya utama, menyebabkan aliran trafik juga turut terjejas.
Tular di media sosial semalam, seorang penunggang motosikal mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di sebuah lebuhraya Pasir Gudang, Johor, yang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Berdasarkan video yang dimuat naik Juhar Mariankha di TikTok, keadaan cuaca pada waktu itu masih hujan dan kelihatan para pengguna lebuh raya terpaksa memperlahankan kenderaan berikutan lorong kanan ditakungi air.
@juharmariankha
Enggan melihat keadaan itu terus berlaku, lelaki berkenaan dikatakan telah pulang ke rumahnya untuk mengambil cangkul sebelum datang semula ke lokasi untuk membuat longkang kecil bagi membolehkan air bertakung itu mengalir ke dalam longkang besar.
Tindakannya itu bukan sahaja telah menyelesaikan masalah air bertakung, malah aliran trafik dilihat kembali pulih seperti biasa.
@juharmariankha
Video tular itu mengundang banyak reaksi netizen yang memuji perbuatannya telah mempermudahkan urusan orang ramai. Tidak kurang juga, netizen mendoakan kebaikannya itu akan dibalas dengan ganjaran di suatu hari nanti.
Sumber: TikTok Juhar Mariankha