Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Isu video gurauan herpes buat perniagaan Kieda Crepe kehilangan pelanggan dalam masa singkat
• Kieda akui terlupa dirinya influencer sehingga perkongsian peribadi menimbulkan kontroversi
• Premis perniagaan ditutup sehari untuk sanitasi bagi meredakan kebimbangan pelanggan
Perniagaan Kieda Crepe berdepan cabaran besar selepas video gurauan berkaitan herpes yang dimuat naik pengasasnya, Siti Nur Khalieda Yusra atau lebih dikenali sebagai Kieda, menjadi tular. Isu itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan, malah turut memberi kesan kepada pendapatan vendor yang berniaga di premis berkenaan.
Ramai pelanggan mula ragu-ragu
Dalam satu siaran langsung di TikTok, Kieda meluahkan rasa terkejut apabila kontroversi tersebut memberi impak yang begitu mendalam terhadap operasi perniagaannya dalam masa yang singkat. Katanya, dalam tempoh sehari dua sahaja, ramai pelanggan mula ragu-ragu dan jualan turun mendadak.
“Bila dah jadi macam ini, jujur saya cakap sangat terkesan (perniagaan) saya. Makanan vendor semuanya terkesan. Sebab itu saya kata pada Amy (suami) yang mungkin saya ini tidak cukup baik untuk bantu orang serta memperjuangkan apa yang saya lakukan sekarang ini.
“Pengakhirannya bagaimana? Mereka nak saya tutup kedai ke ya sebab saya dah minta maaf dan dah buat semua benda. Sehari dua ini memang memberikan kesan yang teruk sangat kepada bisnes saya.”
Niat sekadar berkongsi sisi kehidupan
Kieda menambah, tindakan memuat naik video itu sebenarnya hanya untuk berkongsi sisi kehidupannya. Namun, beliau tidak menjangka ia akan mencetuskan salah faham sehingga menjejaskan reputasi perniagaan.
“Saya ‘post’ video itu, tujuannya adalah untuk kehidupan saya. Tapi saya lupa saya ini ‘influencer’ yang menjadi tumpuan ramai orang.
Saya tak tahulah saya ini ‘influencer’ ke artis. Saya hanyalah peniaga tapi kalau saya peniaga, saya tak akan jadi tumpuan sampai macam ini sekali.”
Bagi meredakan keadaan dan memberi keyakinan kepada pelanggan, pihak pengurusan Kieda Crepe mengambil inisiatif menutup premis selama satu hari bagi menjalankan proses sanitasi. Walaupun tiada kes jangkitan disahkan oleh pihak berkuasa, langkah itu dibuat sebagai usaha menjaga kebajikan pelanggan serta vendor yang turut terpalit.








