Tindakan menutup sementara sebuah premis perindustrian di Kulai, Johor kerana kesilapan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik dipersoalkan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim.
Teng mempersoalkan kewajaran tindakan penguatkuasaan itu, terutama apabila operasi perniagaan premis berkenaan dihentikan selepas pihak berkuasa mengesan kedudukan bendera yang tidak betul.
“Sekadar hendak mendapatkan komitmen kehadiran maka ditutup operasi perniagaan? Apa jenis penguatkuasaan undang-undang ini?
“Denda sajalah kalau salah atau tidak hadir. Kalau ingkar lagi baru tindakan seterusnya. Bukan suka-suka tutup operasi perniagaan,” katanya.
Beliau turut menggunakan analogi institusi perbankan dan pejabat kerajaan bagi mempersoalkan kewajaran penutupan premis berikutan kesalahan tersebut.
“Kalau bank yang silap, nak tutup bank? Kalau pejabat kerajaan silap, tutup pejabat kerajaan?” katanya.
Baca juga:
- ‘Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima – Young Syefura
- Veteran DAP persoal tindakan tutup kilang kerana bendera terbalik
- UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal
Teng berkata, sekiranya terdapat Undang-Undang Kecil (UUK) yang menetapkan hukuman bagi kesalahan berkaitan pemasangan bendera, hukuman tersebut tidak sepatutnya sehingga menjejaskan operasi perniagaan.
“Jika ada UUK untuk hukuman bagi silap gantung bendera sekalipun, hukumannya tidak boleh menganiaya sehingga menghentikan operasi perniagaan, sekadar denda RM200, RM500 atau RM1,000 sudah memadai,” katanya.
Beliau kemudian mengingatkan kerajaan supaya tidak mengambil tindakan yang disifatkannya keterlaluan terhadap kesalahan berkenaan.
“Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau,” katanya.
Sebelum ini, sebuah premis perindustrian di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) diarahkan tutup sementara selepas pihak berkuasa mendapati Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang tidak mengikut kedudukan yang sepatutnya. Kedudukan kedua-dua bendera itu kemudiannya segera diperbetulkan oleh pihak premis.









