UMNO lancar tabung bantu Najib lunas denda RM50 juta | The Reporter

UMNO lancar tabung bantu Najib lunas denda RM50 juta

UMNO lancar tabung sumbangan bantu Najib lunaskan denda RM50 juta
Gambar: Facebook Najib Razak

UMNO akan melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta susulan keputusan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan secara sukarela.

Menurutnya, kutipan berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata, UMNO menyambut dengan rasa syukur keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukumannya menerusi tahanan di rumah.

Beliau berkata, perkembangan berkenaan amat bermakna kepada Najib dan keluarganya selain ahli UMNO yang selama ini menaruh harapan terhadap permohonan berkenaan.

Baca juga:

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan itu melalui saluran yang ditetapkan dengan tetap menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan berkenaan dengan tertib, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan. Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada Jumaat.

Related Posts