Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Insiden seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di Plentong, Johor, semakin mencetus perhatian selepas empat klip video kejadian itu tular di media sosial hari ini.
Mangsa yang telah membuat laporan polis, mendakwa dipukul oleh enam lelaki di rumah seorang wanita dikenali sebagai Bella selepas dijemput datang malam semalam.
Difahamkan, video berkenaan memaparkan mangsa dipukul di bahagian dada dan belakang badan tanpa belas kasihan.
Menurut sumber, klip video tersebut dipercayai dirakam oleh wanita bernama Bella sendiri, yang merupakan individu sama menghubungi mangsa melalui WhatsApp untuk datang ke rumahnya.
Video tersebut kini tersebar di beberapa platform, menimbulkan kemarahan netizen yang menuntut siasatan tegas terhadap semua pihak terlibat.
Dalam laporan polis, mangsa menyatakan dia turut diperas ugut supaya membayar RM3,000, namun hanya mampu menyerahkan RM600 kepada kumpulan lelaki terbabit. Motorsikal miliknya jenis Yamaha Y15 turut didakwa telah dirampas.
Selepas insiden, mangsa dibawa ke klinik swasta di Taman Bukit Dahlia oleh salah seorang pelaku untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke rumah kawannya.
Mangsa mengalami kecederaan termasuk luka pada telinga dan bibir serta bengkak pada dada dan belakang badan.
Susulan tularnya video, warganet menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas pelaku dan wanita yang terlibat, memandangkan video menunjukkan elemen keganasan yang jelas dan dirancang.
Pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi setakat ini. Sementara itu, mangsa menuntut agar wang dan motosikalnya dikembalikan serta pelaku dihadapkan ke muka pengadilan.
Sumber : Facebook Mohd Firdaus








