Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, kematian penyanyi muda Thailand, Chayada Prao-hom, 20, atau lebih dikenali sebagai Ping Chayada, mencetuskan perbincangan hangat apabila ia dikaitkan dengan sesi urutan “memulas leher” yang diterimanya.
Chayada dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Udon Thani pada Ahad lalu selepas kesihatannya merosot sejak menjalani tiga sesi urutan bermula Oktober.
Bagaimanapun, tukang urut berkenaan yang dikenali sebagai Aoy tampil menafikan dakwaan itu dan menyatakan rasa terkejut apabila mengetahui dirinya dikaitkan dengan kes tersebut.
“Saya terkejut apabila mendengar saya adalah tukang urut yang dimaksudkan. Sepanjang kerjaya saya sebagai tukang urut berlesen, ini tidak pernah berlaku,” katanya.
Menurut laporan autopsi, Chayada meninggal dunia akibat sepsis, jangkitan kulat, dan pembengkakan saraf tunjang, jelas Pegawai Kesihatan Awam Udon Thani, Dr. Somchaichot Piyawatwela.
Chayada dikatakan mendapatkan dua sesi terapi urutan “memulas leher” dan satu sesi urutan tekanan tinggi untuk melegakan kekejangan leher, namun keadaan kesihatannya terus merosot sehingga dia dimasukkan ke ICU pada 18 November sebelum meninggal dunia dua minggu kemudian.
Dalam satu hantaran di Facebook, Chayada mendakwa urutan tersebut menyebabkan dirinya terlantar dengan kebas merebak pada seluruh badan. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Awam Thailand, Somsak Thepsutin, menjelaskan bahawa keputusan autopsi mengesahkan kematian itu tidak berkaitan dengan urutan yang diterima.
Ibu Chayada bagaimanapun masih percaya urutan itu menjadi punca kematian anaknya, tetapi memutuskan untuk tidak melakukan autopsi kedua selepas berbincang dengan ahli keluarga.
Kes ini turut mencetuskan peringatan daripada pakar kesihatan mengenai risiko tertentu yang mungkin timbul akibat jenis urutan tertentu, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan. – Agensi








