Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati semua 25 tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB, adalah sah dan betul dari segi undang-undang.
Memetik laporan Berita Harian, empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib Razak adalah sah, dan tidak cacat.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, tuduhan yang dikenakan ke atas Najib tidak kabur dan tidak dikelirukan serta tidak diprejudiskan berhubung kesalahan berkenaan.
Najib didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Terdahulu, Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani