Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, menerusi hantaran video di Facebook menjelaskan segala tohmahan yang dibuat ke atas GISB.
Beliau menafikan beberapa dakwaan tular antaranya yang mengatakan pengikut meminuman air rendaman kaki, air ‘berkat’, tuduhan liwat, eksploitasi dan sebagainya. Katanya tuduhan berkenaan tidak berasas sama sekali.
“Saya duduk dalam perjuangan ni lebih 44 tahun, tak pernah cerita air kaki. Fitnah yang 30 tahun dulu muncul balik.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya
“Saya bukan mahu menyebelahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke?
“Ini tangkap lebih 400, mereka tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya. Memang liwat itu ada satu, dua, tapi kenapa mahu dirangkumkan semuanya?” katanya.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan barangan yang dikeluarkan oleh syarikat mereka mendapat pensijilan halal dari JAKIM dan sudah diimport ke Arab Saudi dan beberapa kedai lain.
Tiada rundingan
Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada rundingan atau perbincangan serta bukti-bukti yang menunjukkan dakwaan itu.
“Kenapa semudah ini? Perkara yang mudah (untuk) dirunding, kami tak menyakitkan orang lain dan sebagainya. Sedih sangatlah, cara hidup kami, ada yang kata doktrin. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
“Kami sudah buat 30 tahun dan buka (cawangan) di seluruh dunia, hampir 20 cawangan dan tiada masalah. Kami berhubung dengan duta dan tolong pihak kedutaan.
“Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam, kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat (masyarakat) pelbagai peringkat,” katanya.
Susulan dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan, tindakan perundangan akan dilakukan oleh peguam yang dilantik.