Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Tiga lokasi sensitif di Iran dibom AS: Fordow, Natanz dan Isfahan
• Trump tak maklumkan penuh kepada Kongres, terus umum kejayaan operasi
• Iran beri amaran, tindakan AS boleh cetuskan krisis lebih besar
Donald Trump akhirnya mengesahkan penyertaan ketenteraan Amerika Syarikat dalam konflik Iran-Israel dengan mengarahkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama Iran. Serangan ini memburukkan lagi ketegangan di rantau itu, yang setakat ini telah meragut lebih 600 nyawa di Iran.
“Kami telah menyempurnakan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz dan Isfahan. Semua pesawat kini sudah keluar dari ruang udara Iran. Muatan penuh BOM dijatuhkan ke tapak utama, Fordow,” tulis Trump di Truth Social.

Mengapa Fordow, Natanz dan Isfahan disasarkan?
Ketiga-tiga lokasi itu adalah pusat penting dalam program nuklear Iran. Fordow dan Natanz merupakan tapak pemerkayaan uranium, manakala Isfahan dipercayai menyimpan uranium yang hampir mencapai tahap pembuatan senjata.
Trump mendakwa pesawat pengebom B-2 AS telah melepaskan enam bom pemusnah kubu seberat 30,000 paun ke Fordow, selain 30 peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan ke arah Natanz dan Isfahan.
“Semua pesawat kini dalam perjalanan pulang dengan selamat. Tahniah kepada wira Amerika kita. Tiada tentera lain di dunia ini mampu lakukan perkara ini. Sekarang masanya untuk berdamai! Terima kasih atas perhatian anda,” tambah Trump.

Serangan dilakukan tanpa kelulusan penuh Kongres?
Tindakan Trump mengundang kritikan kerana beliau tidak memaklumkan sepenuhnya kepada Kongres sebelum melancarkan serangan. Hanya Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson dan Ketua Majoriti Senat, John Thune yang dimaklumkan terlebih dahulu.
Ahli Kongres dari kedua-dua parti menyuarakan kebimbangan. Wakil Demokrat Alexandria Ocasio-Cortez menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran Perlembagaan” dan menyeru pemecatan Trump.
“Keputusan Presiden untuk mengebom Iran tanpa kebenaran adalah pelanggaran serius Perlembagaan dan kuasa Perang oleh Kongres.Beliau secara melulu telah mencetuskan risiko perang berpanjangan yang boleh memerangkap kita selama beberapa generasi,” tulisnya di X.
Wakil Republikan Thomas Massie pula menyifatkan tindakan Trump sebagai ‘tidak mengikut Perlembagaan’ dan menyeru agar Kongres segera mengundi usul kuasa perang yang digubal bersama Ro Khanna untuk mengehadkan tindakan ketenteraan tanpa kelulusan rasmi.
Iran beri amaran keras
Iran tidak berdiam diri. Menteri Luar Abbas Araghchi memberi amaran bahawa tindakan AS adalah “amat berbahaya”, manakala Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Amerika akan “menerima kesan yang tidak dapat dipulihkan.”
Serangan ini juga berlaku hanya sehari selepas Trump mendakwa Iran boleh membina senjata nuklear “dalam beberapa minggu”, bertentangan dengan penilaian rasmi agensi risikan AS.
“Saya tidak peduli apa yang dia (Pengarah Risikan Negara, Tulsi Gabbard) katakan,” ujar Trump kepada wartawan, merujuk kepada kenyataan rasmi bahawa Iran tidak sedang membina senjata nuklear.
Kenapa sekarang?
Trump berkata beliau sudah lama memberi peluang kepada Iran untuk menyertai perjanjian damai, tetapi Iran menolak.
“Mereka sepatutnya menerima perjanjian itu. Saya dah beri perjanjian yang hebat. Kami berbincang selama 60 hari dan akhirnya mereka tak setuju. Sekarang mereka menyesal, mereka nak jumpa. Tapi dah terlambat,” katanya.
Menurut sumber White House, Trump memantau operasi dari bilik situasi di White House selepas pulang dari acara pengumpulan dana di kelab golfnya di New Jersey.
Sumber: Independent








