Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyeru China agar memulakan langkah rundingan dalam usaha meredakan ketegangan perang dagang yang semakin memuncak antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Seruan itu dibuat selepas China menunjukkan ketegasan di luar jangkaan, termasuk menghentikan pembelian pesawat Boeing dan menggantung eksport bahan nadir bumi – komponen penting dalam industri pertahanan dan teknologi tinggi AS. Tindakan ini dilihat sebagai tindak balas balas terhadap tarif AS setinggi 145% ke atas produk China.
Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, Trump menegaskan: “Bola kini di tangan China. Mereka perlu buat perjanjian dengan kami.”
- Tular aksi ‘manja’ pasangan di kedai makan, JAIM jalankan siasatan
- Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran selepas laung ‘Free Palestine’
- ‘Nak bersuara tak ada masalah, tapi jangan menuduh tanpa bukti’ – Mohamad Sabu
- Insiden atlet tercirit, HYROX mohon maaf, akui gagal bertindak segera
- WHO dilapor bakal henti bekalan diesel ke lebih 20 hospital, pusat kesihatan Gaza
Leavitt turut menyatakan bahawa China, seperti negara lain, menginginkan akses kepada pengguna AS. Namun ketegasan Xi Jinping yang enggan berunding, sebaliknya memperluas strategi eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS kepada hanya 14%, memberi isyarat bahawa China tidak mahu dilihat tunduk.
Pada masa sama, Trump turut mengkritik China di media sosial, mendakwa negara itu telah membatalkan kontrak dengan Boeing dan memberi bayangan bahawa mereka perlu hadir ke meja rundingan, sambil memuji kemajuan rundingan dengan negara-negara lain.
Laporan Financial Times menyebut Trump masih menunggu panggilan telefon dari Xi. Namun penganalisis berpandangan, China telah lama bersiap sedia dan tidak mempunyai sebab mendesak untuk mengalah dalam masa terdekat. – Agensi








