Pada 29 Julai 2024, Southport digemparkan dengan serangan berdarah yang berlaku di sebuah kursus tarian dan yoga bertemakan Taylor Swift untuk kanak-kanak.
Serangan itu telah mengakibatkan tiga kanak-kanak perempuan maut dan sepuluh yang lain termasuk lapan kanak-kanak mengalami kecederaan.
Suspek, Axel Muganwa Rudakubana, seorang remaja berusia 17 tahun berasal dari Cardiff dan anak kepada pasangan suami isteri berasal dari Rwanda, telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh.
Puak pelampau ambil kesempatan
Selepas kejadian itu, kumpulan sayap kanan (Far Right) telah mengambil kesempatan untuk menyebarkan maklumat palsu di media sosial, mengaitkan serangan tersebut dengan komuniti Muslim.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mencetuskan ketegangan dan kekecohan di Southport, termasuk serangan terhadap sebuah masjid dan sekali gus mensasarkan komuniti Muslim di kawasan tersebut.
Pihak media pada awalnya enggan mengeluarkan nama sebenar suspek utama atas sebab perundangan dan etika, termasuk melindungi identiti suspek bawah umur dan memastikan proses penyiasatan berjalan lancar tanpa gangguan dari media.
Namun, apabila suspek didakwa secara rasmi dan hampir mencapai umur 18 tahun, seorang hakim memutuskan untuk mengeluarkan nama suspek bagi mengelakkan lebih banyak maklumat salah tersebar dan untuk mengurangkan risiko keganasan lanjut.
Motif masih dalam siasatan
Motif sebenar Rudakubana dalam serangan ini masih belum dikenal pasti. Pihak polis Merseyside menegaskan kejadian itu tidak berkaitan terorisme.
Walaupun nama suspek sebenar telah didedahkan, kumpulan sayap kanan terus mencetuskan kekecohan dengan menyebarkan teori konspirasi dan maklumat palsu yang mengaitkan serangan tersebut dengan komuniti Muslim atau pendatang. Mereka menggunakan insiden ini untuk mempromosikan agenda politik mereka yang anti-imigrasi dan anti-Islam, serta mencetuskan ketegangan antara komuniti yang berbeza. – Agensi