Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Di awal kehamilan, wanita hamil disarankan membuat pemeriksaan di klinik bagi memastikan keadaan ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.
Selain pemeriksaan awal, buku pink atau Buku Rekod Kesihatan Ibu dan Anak juga wajib diisi di Klinik Kesihatan yang berfungsi sebagai rekod lengkap mengenai kesihatan ibu semasa kehamilan dan juga perkembangan bayi selepas kelahiran.
Isu tular yang berlaku baru-baru ini juga mengundang persoalan ramai mengenai tindakan kedua ibu bapa berkenaan yang tidak membuat buku pink.
Menerusi satu hantaran di jaringan X, Dr Samhan menggesa wanita hamil supaya membuat buku pink.
“Buku pink merekodkan kesihatan lengkap. Semua maklumat seperti tekanan darah, ujian darah, dan perkembangan bayi dicatat. Ini memudahkan doktor memantau kehamilan,” katanya.
Ujarnya juga, kesan komplikasi awal dapat dikesan sekiranya maklumat lengkap diisi dalam buku pink berkenaan.
“Risiko seperti anemia, kencing manis, dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal untuk rawatan segera.
“Melalui imbasan dan pemeriksaan berkala, buku pink membantu doktor mengenal pasti masalah seperti cyclopia (cyclops), iaitu keadaan bayi dengan satu mata akibat masalah perkembangan otak,” tulisnya.
Bukan hanya dapat merekodkan kesihatan ibu dan juga bayi, malahan buku pink jelasnya dapat membantu doktor membuat keputusan berdasarkan rekod lengkap kehamilan.