Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan pengarah dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa atas tuduhan meminta dan menerima suapan bagi melindungi premis hiburan tanpa lesen.
Menerusi laporan dari Harian Metro, Muhamad Irwan Abdullah, 44, dan Zahari Muhammad, 34, masing-masing berdepan tiga serta dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama meminta suapan wang tunai berjumlah RM200,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang penguatkuasaan ke atas pusat hiburan tanpa lesen sah di bawah jagaan Chan Sai Loke.
Kesalahan itu dilakukan di restoran di Puchong, Selangor, sekitar Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, menerima suapan wang tunai berjumlah RM160,000 secara bulanan daripada penjaga berusia 62 tahun itu di lokasi sama dan sekitar masa yang sama.
Muhamad Irwan turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada individu sama di parkir restoran berkenaan, kira-kira jam 9 malam pada 5 Jun lalu.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.








