Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
ByteDance dilaporkan telah memecat 700 kakitangannya di Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan pekerja di seluruh dunia.
ByteDance yang memiliki aplikasi TikTok menjelaskan, pemecatan ini berlaku ketika pihaknya sedang beralih kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam moderasi kandungan.
Para pekerja yang terlibat telah menerima notis pemecatan melalui e-mel pada Rabu lalu. Selain dari Malaysia, beberapa ratus pekerja di seluruh dunia turut terjejas.
ByteDance yang memiliki lebih dari 110,000 pekerja di lebih daripada 200 bandar global, juga merancang mengurangkan lagi pekerjanya pada bulan depan untuk menggabungkan beberapa operasinya di rantau ini.
Syarikat itu merancang untuk melabur $2 bilion dalam kepercayaan dan keselamatan tahun ini, dengan 80% kandungan yang melanggar garis panduan kini dihapuskan oleh teknologi automatik.
Pengurangan pekerja berlaku ketika firma teknologi global itu menghadapi tekanan peraturan yang lebih besar di Malaysia, di mana kerajaan meminta pengendali media sosial untuk memohon lesen operasi menjelang Januari untuk memerangi kesalahan siber.
Awal tahun ini, Malaysia melaporkan peningkatan mendadak dalam kandungan media sosial yang berbahaya dan mendesak platform seperti TikTok untuk meningkatkan pemantauan mereka.
Sumber: Reuters