Mat rempit lumba haram di Guthrie
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tiga kenderaan terbabit dalam kemalangan yang berpunca daripada kegiatan lumba haram sekumpulan mat rempit di Kilometer 9.6 Lebuhraya Guthrie hala selatan, awal pagi 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila sebuah kereta memperlahankan kenderaan untuk mengelak dua motosikal yang terlebih dahulu terbabit dalam kemalangan.
Sebuah kereta lain yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh kereta tersebut, sebelum dirempuh pula oleh kenderaan ketiga. Insiden itu menyebabkan tiga kereta berkenaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Baca juga:
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
- Gara-Gara hutang, pelajar 13 Tahun cedera dipukul sekumpulan remaja di Pekan
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
Polis buru mat rempit dalam video tular
Sebelum kejadian, tular satu rakaman video dashcam di media sosial yang memaparkan aksi sekumpulan mat rempit yang menunggang secara melulu dan berbahaya, dipercayai sedang berlumba haram. Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penunggang terbabit.
Mohd Hafiz berkata, pihaknya sedang mengesan penunggang motosikal yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam kegiatan lumba haram atau samseng jalanan yang bukan sahaja sia-sia, tetapi boleh mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di 03-61561222.
Sumber: Berita Harian








