Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kemalangan di Kilometer 2 Timur Lebuhraya DUKE 2, menghala ke Tol Segambut, pada pagi tadi telah meragut tiga nyawa, manakala seorang bayi lelaki cedera parah, selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori.
Kejadian yang berlaku pada jam 7.20 pagi itu melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang menunggang motosikal bersama isteri, 27 tahun, dan anak perempuan mereka, 4 tahun. Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara bayi lelaki berusia setahun kini dirawat di Hospital Selayang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada jam 7.30 pagi.
Siasatan awal mendapati, sebuah lori dilaporkan berhenti di lokasi kerana mengalami masalah ‘starter’, manakala sebuah lagi lori diparkir di belakang bagi tujuan memindahkan barang dari lori yang rosak tersebut.
Motosikal mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai cuba memotong kenderaan lain namun gagal mengelak, lalu merempuh bahagian belakang lori yang sedang memunggah barang.
Lori yang membawa produk makanan basah itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun. Pemilik lori bersama pekerja telah meletakkan lima kon keselamatan di lokasi, sementara dua pekerja turut mengawal keadaan semasa proses pemindahan barang dilakukan.
Saksi memaklumkan, motosikal tersebut dipercayai cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan lalu merempuh lori yang diparkirkan di lokasi kejadian.
Bedah siasat selesai dijalankan pada jam 2.30 petang, dan jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Sumber: Harian Metro








