Tidur yang mencukupi memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan jantung kita. Kurang tidur berkait rapat dengan pengumpulan kalsium dalam arteri jantung, yang meningkatkan risiko serangan jantung.
Kajian terkini menunjukkan bahawa, tidur lebih lama pada hujung minggu mungkin boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Bagi orang dewasa yang sering mengalami kekurangan tidur berkualiti, menggantikan jam tidur yang hilang pada hujung minggu boleh memberi manfaat kesihatan jantung.
Para penyelidik dari China menganalisis data daripada 90,903 peserta yang terlibat dalam projek UK Biobank.
Mereka memerhatikan hubungan antara penyakit jantung dan ‘tidur ganti’ (compensated sleep), iaitu tidur lebih pada hujung minggu untuk mengimbangi kekurangan tidur semasa minggu bekerja.
Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan berapa banyak tidur ‘ganti’ yang mereka lakukan pada hujung minggu.
Kajian ini mengambil kira rekod hospital dan maklumat pendaftaran kematian untuk melihat sama ada peserta mengalami penyakit jantung.
Hasil kajian
Peserta yang tidur lebih banyak pada hujung minggu (dari lebih sejam hingga kira-kira 16 jam) mempunyai risiko 19% lebih rendah untuk mengalami penyakit jantung berbanding dengan kumpulan yang tidur paling sedikit pada hujung minggu.
Walaupun kajian ini hanya menunjukkan hubungan dan bukan sebab-akibat, ia memberi petunjuk bahawa tidur ganti pada hujung minggu mungkin membantu kesihatan jantung.
Sumber: NBC News








